Girl Group Baru dengan nama " STELLAR "

Kumpulan wanita baharu, Stellar yang bernaung di bawah Sony Music Entertainment Malaysia kini optimis mengatur langkah dalam industri seni tempatan. Dianggotai Farisa, Hany, Hasya dan Sheena,  mensasarkan pendengar khusus untuk remaja dan wanita yang sedang mencari identiti tersendiri meniti kehidupan yang semakin dewasa.

“Kami mahu orang ramai khususnya pencinta muzik di Malaysia menerima hasil karya yang kami tampilkan dan menjadikan ia sebagai sumber inspirasi dalam pelbagai situasi kehidupan. 

“Selain itu, kami mahukan karya kami dijadikan sebagai sumber hiburan dan diterima oleh masyarakat dan pastinya kami mahu Stellar bertahan dan berjaya dalam industri hiburan," kata Farisa mewakili Stellar.

Dalam pada itu, Stellar akui beberapa kumpulan wanita lain telah berjaya mencipta nama, pada masa sama, ada juga yang sedang mendaki populariti. Namun mereka melihat perkara itu sebagai satu pencetus semangat untuk turut berjaya di persada hiburan tanah air.

"Kita sedia maklum dengan kumpulan-kumpulan wanita yang sudah bertapak di Malaysia seperti Dolla, De Fam dan lain-lain. Kami melihat kejayaan mereka sebagai satu inspirasi agar tidak berputus asa. Kami juga berpegang pada prinsip 'kalau mereka boleh, kenapa kami tidak?'.

"Segala cabaran dan rintangan yang mungkin akan berlaku, kami akan jadikan ia sebagai 'guru' yang mengajar dalam memperbaiki diri dan berusaha untuk menjadi lebih baik," kata Farisa lagi.

Bercakap mengenai keistimewaan yang bakal ditampilkan Stellar, kumpulan itu merasakan kesetiaan dalam persahabatan adalah kunci kepada kejayaan yang bakal dilakar Stellar selepas ini. 

“Kami juga bersedia untuk menerokai pelbagai perkara baru tentang industri hiburan ini serta menerima teguran seandainya kami ada melakukan kesalahan. Untuk imej kami sebagai artis berkumpulan pula, tentunya setiap antara kami setia dalam persahabatan walau apa jua keadaan,” tambahnya.

Berita baik untuk anda semua, Stellar akan muncul dengan single sulung mereka yang berjudul 'Where You Wanna Go' tidak lama sahaja lagi.

"Kami akan melancarkan single pertama pada bulan November ini, tidak hanya satu lagu itu sahaja, kami pastinya akan bekerja keras dalam menghasilkan lagi banyak karya pada masa akan datang,” tambah Farisa menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post

Contact Form