Friday, 19 July 2013

Rosdy Isnirin



SERDANG – Hasrat seorang anggota tentera bertemu bakal isterinya sebelum majlis pernikahannya yang dijadualkan berlangsung hari ini tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Serdang Raya, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikatakan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda bersendirian dari arah Seri Kembangan menuju ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, ketika mangsa tiba di simpang tiga Jalan SR 2/2, sebuah kereta dari arah Kuala Lumpur dikatakan tiba-tiba membelok ke arah kanan.

Menurutnya, kereta Proton Saga dipandu seorang wanita itu dirempuh dari arah kiri oleh mangsa sebelum dia terpelanting ke atas jalan.

Akibat kejadian itu, mangsa Rusdy Isnirin, 25, berasal dari Sabah maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta yang datang dari arah Kuala Lumpur memasuki simpang kanan ke jalan SR 2/2.

“Rempuhan motosikal menyebabkan mangsa tercampak dan mengalami pendarahan di bahagian kepala. Pemandu kereta pula tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Abd Razak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Sehubungan itu, saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Serdang, Inspektor Nur Azam Shah Md Aziz di talian 03-80742222 atau 016-9055595 untuk membantu siasatan.

Related Articles

0 comments:

Post a Comment